Official Portal

1461187 736120143083463 1950774883 n CENTER FOR SPORTS AND CULTURE

                  

‘THEATER OF PATTERN’ ANUGERAH KHAS JURI UNTUK SENANDIKA - UMP

Februari 2018 – Universiti Sains Malaysia. 12 Universiti Awam telah menyertai Festival Teater Pengisahan Kemanusiaan ‘Theater of Pattern’ yang dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Objektif program ini diadakan adalah untuk memperkenalkan satu bentuk baru ‘Theatre of Pattern (TOP)” kepada khalayak ramai di Malaysia khususnya kepada pelajar Universiti Awam (UA) sebagai satu genre yang memperlihatkan kelainan dan keunikan pemikiran serta ideologi di pentas. Disamping itu, melalui tema penganjuran kali ini iaiitu kemanusiaan, TOP dapat menyampaikan mesej dan pendidikan persembahan yang mempunyai nilai kemanusiaan yang dapat dihayati oleh penonton.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima Anugerah Khas Juri dengan membawa pulang trofi dan sijil. Karya “Berdiri Di Atas Kerusi Sendiri” adalah hasil karya Mohammad Rizal bin Md. Ali, mahasiswa tahun 2 Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP). Rizal berkata “pertandingan ini merupakan salah satu inisiatif yang baik untuk penggiat teater terutama mahasiswa bagi menghasilkan sebuah persembahan yang padat dengan mesej dan disampaikan dengan gaya paling ringkas. Saya berbangga dengan hasil kumpulan kami yang pertama kali menyertai pertandingan ini dengan ilmu yang baru.” Rizal merupakan Presiden Kelab Teater Senandika.

Tempat pertama dimenangi oleh Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) dengan membawa naskah ‘Merekah Bumi Shatilla” dan pulang wang tunai RM1,000.00, manakala Naib johan dimenangi oleh tuan rumah Universiti Sains Malaysia (USM) dengan teater bertajuk “Aksi Si Kucing” membawa pulang wang tunai RM800.00, manakala “Manusia Oh Manusia” dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA)  mendapat tempat ketiga dan wang tunai RM600.00.

Bagi Siti Komariya bt Asan, pelajara tahun 2 Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) menyifatkan bahawa semangat  dan kerjasama daripada kumpulan merupakan aspek utama yang membantu mereka untuk lebih berani dan berkeyakinan. Sebagai salah seorang pelakon TOP beliau berkata “kejayaan ini adalah pemangkin semangat kumpulan kami untuk lebih bersedia dan lebih kreatif pada masa hadapan. Saya mengucapkan terima kasih kepada Pusat Sukan & Kebudayaan UMP yang menyokong dan membantu menguruskan penglibatan kami dari mula hingga akhirnya”.

Juri pada malam tersebut adalah Badruhisham Darus, Roslee Mansor dan Zakaria Ariffin sebagai ketua juri menyifatkan jalan cerita dan persembahan yang dihasilkan oleh Senandika ada keunikkan tersendiri dan tersusun. Turut sama  memeriahkan program adalah Yang Berbahagia, Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM dan Lt. Kol. Bersekutu (PA) Faudziah Md Din, Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi.

Tags: umpkebudayaan