Portal Rasmi

1461187 736120143083463 1950774883 n PUSAT SUKAN DAN KEBUDAYAAN

                  

Kejohanan Futsal Terbuka 32 Pasukan Rebut Juara

Kuantan,2 Disember- Pusat Sukan & Kebudayaan (PSK) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menganjurkan Kejohanan Futsal Terbuka UMP bertempat di Ferro Futsal, Kuantan. Kejohanan ini telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 32 pasukan dengan lebih 300 orang peserta dari seluruh Malaysia termasuk pasukan dari Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur.  

1

Menurut Pengarah Pusat Sukan & Kebudayaan, UMP Abd. Rahman Haji Safie berkata, penganjuran buat julung kalinya ini amat membanggakan apabila menerima sambutan daripada pasukan yang mengambil bahagian. Semangat yang tinggi dalam kalangan pelajar untuk menyumbang kejayaan haruslah dipuji dan sentiasa dibimbing supaya banyak lagi kejohanan lain seperti ini dapat dianjurkan pada masa akan datang.

“Selain bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat, sukan ini dapat mengeratkan lagi hubungan baik dengan para peserta terutamanya pasukan yang datang dari luar Kuantan. Peluang ini juga memberi kesempatan kepada peserta untuk mengasah bakat dan mempertingkatkan kemahiran dalam permainan futsal,” katanya. Pihaknya berhasrat untuk menjadikan kejohanan ini sebagai salah satu acara tahunan UMP dengan menyasarkan lebih ramai penyertaan pasukan pada masa akan datang.

2

Sementara itu, Pengarah Program, Anuarul Amir Ramli yang merupakan pelajar praktikal program Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jengka berkata penganjuran program ini juga mencabar baginya yang sedang menjalani latihan praktikal di UMP selain daripada tugasan-tugasan lain yang dinilai oleh penyelianya.

 Penganjuran ini merupakan satu pengalaman berharga buatnya dan rakan-rakannya kerana banyak ilmu pengurusan dapat dipelajari dan dipraktikkan secara langsung dan tidak langsung. Beliau turut dibantu pelajar praktikal iaitu Nur Syairah   Karim dan Nur Maizatul Maizan Hairul Azhar dari UiTM Jengka dan UiTM Shah Alam.

3

Pertandingan menyaksikan johan disandang pasukan PST B dari KPT dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,500 berserta medal, tempat kedua pula dimenangi oleh pasukan Ketam Angin FC dari Terengganu yang membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta medal. Manakala tempat ketiga disandang oleh pasukan ZAM DEPORTIVO dari Kuantan dengan membawa pulang wang tunai sebanyak  RM700 berserta medal dan tempat keempat dimenangi OT Team dari Temerloh dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM300 beserta medal. Hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Professor Dato’ Dr. Yusserie Zainuddin.

Berita disediakan oleh Nur Juhaida,Pegawai Pusat Sukan dan Kebudayaan,UMP