Portal Rasmi

1461187 736120143083463 1950774883 n PUSAT SUKAN DAN KEBUDAYAAN

                  

UMP rangkul pingat dalam Kejohanan Sukanun

1

2

Melaka, 27 Julai- Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencatat sejarah apabila merangkul pingat dalam penyertaan sulong di Kejohanan Sukan Badan Berkanun 2017 (SUKANUN 2017) yang berlangsung di Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.

Pasukan Sepak Takraw UMP berjaya memenangi pingat perak dalam acara Sepak Takraw Antara Regu selepas tewas kepada pasukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dibarisi oleh sebilangan atlet Kebangsaan dengan kiraan 2-1 setelah mempamerkan tentangan sengit sehingga perlawanan berlanjutan sehingga dua jam masa permainan.

Menurut Pengurus Pasukan Sepak Takraw yang juga Pegawai Belia & Sukan Kanan UMP Al-Muhaimin Ali, dengan penyertaan seramai 61 Agensi Badan Berkanun di Kejohanan ini, pasukan UMP mampu mempamerkan aksi yang cemerlang dengan muncul johan kumpulan selepas menewaskan Lembaga Pembangunan Keluarga Terengganu (LPKT) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kiraan 2-0 di peringkat kumpulan.

3

4

Pasukan Sepak Takraw UMP meneruskan lagi kecemerlangan dengan menewaskan pasukan Universiti Malaya (UM) 2-0 di peringkat Pusingan Kedua, kemudiannya menewaskan pasukan RISDA 2-0 di peringkat Suku Akhir dan menewaskan pasukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Peringkat Separuh Akhir untuk bertemu pasukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di peringkat Akhir.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Abd Rahman Hj Safie berkata, kejayaan pasukan UMP ini merupakan kesinambungan kecemerlangan pasukan berkenaan daripada tahun lalu yang muncul johan dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia 2016.

“Kesungguhan pasukan diteruskan dengan latihan tersusun pasukan berkenaan sepanjang tahun ini untuk beraksi mempertahankan pingat emas berkenaan pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia 2017 yang sedang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak mulai 29 Julai hingga 5 Ogos 2017 ini,” katanya.

Beliau mengharapkan kejayaan pasukan sepak takraw UMP ini dapat diteruskan pada edisi akan datang untuk menyuntik semangat kepada semua atlet dan pasukan-pasukan lain untuk terus mencapai kejayaan dalam setiap kejohanan bagi meletakkan nama UMP sebaris dengan pasukan-pasukan hebat yang lain.

Disediakan Jamrah Mahat dari Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP dan diterbitkan kembali oleh Mohd Farid bin Md Ali untuk Portal Pusat Sukan Dan Kebudayaan UMP.

Tags: SEPAK TAKRAW UMP,, sukanun,, pingat,